Sunday 7 August 2011

Falsafah


Choong Lean Keow (2008) mengatakan bahawa Falsafah Pendidikan berasal daripada dua istilah asas, iaitu falsafah dan pendidikan.
“Falsafah mengkaji kewujudan manusia, hubungan antara manusia... Dari perspektif sains kognitif, sains tulen diibaratkan sebagai pepohon, manakala falsafah diumpamakan seperti tanah di mana pepohon tumbuh dengan suburnya” (terjemahan) – Ayn Rand, Philosophy, Who Needs It (m/s 2) dalam Choong Lean Keow (2008).
Merujuk kepada pengertian di atas, boleh dikatakan bahawa ahli falsafah melihat falsafah sebagai satu landasan yang baik bagi cetusan dan penjanaan idea-idea baru dalam pelbagai bidang dan disiplin ke arah perkembangan manusia.
         Menurut Choong Lean Keow (2008), secara etimologinya, falsafah berasal daripada perkataan Yunani, philosophia, di mana philo bermaksud “cinta” dan sophia bermaksud “pengetahuan”. Justeru, falsafah boleh ditakrifkan sebagai “cinta kepada pengetahuan atau hikmah”.
      Istilah pendidikan pula berasal daripada perkataan Latin, educare yang bermaksud “memelihara atau mengasuh”. Menurut Kamus Pendidikan (1979) dalam Choong Lean Keow (2008), “Pendidikan adalah satu proses menyeluruh yang bertujuan untuk memperkembangkan kebolehan dan tingkahlaku manusia. Ia juga satu proses sosial yang memberi peluang kepada seseorang individu untuk memperoleh kemahiran sosial serta perkembangan peribadi. Di samping itu, ia dijalankan dalam satu suasana yang terpilih serta terkawal yang diinstitusikan dan dikenali sebagai sekolah.”.
           Menurut Yusuf al-Qardawi (1980) dalam Choong Lean Keow (2008) pula, pendidikan ditakrifkan sebagai “Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkahlaku. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia hidup dalam masyarakat yang seiring menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan”.