Sunday 7 August 2011

Pola Keselarasan Vokal


Menurut Abdullah Hassan (2007), satu perubahan dalam sistem ejaan baharu ialah peraturan menyelaraskan penggunaan huruf vokal. Dalam sistem ejaan lama, penggunaan vokal dalam satu perkataan tidak diselaraskan. Penyelarasan vokal ini dilakukan hanya pada dua suku kata akhir sesuatu kata akar yang mempunyai suku kata akhir itu tertutup.
Abdul Hamid Mahmood (2007) mengatakan sistem ejaan bahasa Melayu yang baharu ini digubal dengan mengambil kira sistem keselarasan huruf vokal. Sistem keselarasan vokal bermaksud keselarasan atau kesesuaian dua huruf vokal yang membentuk dua suku kata dasar, iaitu pasangan antara huruf vokal pada suku kata praakhir dengan huruf vokal pada suku kata akhir tertutup.( Dr. Ali Mahmood dan rakan-rakan, 2009)
Satu pembaikan yang dilakukan pada sistem ejaan baru ialah keselarasan vokal pada kata dasar. Keselarasan vokal hanya berlaku :
a)    Antara dua huruf vokal pada kata dasar;
b)    Jika kata dasar berakhir dengan suku kata tertutup
c)    Pada dua vokal dalam dua suku kata terakhir (suku kata akhir dan praakhir) jika kata dasar itu mengandungi tiga suku kata atau lebih.

Dalam sistem ejaan baru terdapat 18 pola keselarasan vokal. Jadual 1 menunjukkan pola keselarasan vokal.

Bil.
Suku kata praakhir
Suku kata Akhir Tertutup
Contoh Penggunaan
1.
a
a
   alah          tampar        halaman
2.
a
i
alih           tarik        parit
3.
a
u
asuh          datuk       baruh
4.
e (pepet)
a
emas         kelam      selam
5.
e (pepet)
i
betik          ketil        lebih
6.
e (pepet)
u
belut          telur       perut
7.
e (taling)
a
elak          dewan     perang
8.
e (taling)
e (taling)
belek        gelek       leceh
9.
e (taling)
o
elok          belok      telor
10.
i
a
bilah         kilang     selinap
11.
i
i
intip          pilih        sisih
12.
i
u
pikul         ribut        tidur
13.
o
a
otak          borang    sekolah
14.
o
e (taling)
oleh          boleh       celoteh
15.
o
o
obor          borong    kelompok
16.
u
a
ulat           bulat        ketupat
17.
u
i
ulit            kulit         putih
18.
u
u
untuk         buluh       seluruh

Jadual 1

Keselarasan vokal ini tidak mempengaruhi ejaan dalam keadaan berikut;
a)    Huruf e taling atau o tidak berubah dalam kata ekasuku ( satu suku kata ) apabila menerima imbuhan yang mengandungi huruf e pepet, misalnya:
syor diimbuhankan menge + syor + kan dieja ‘ mengesyorkan’
bom diimbuhankan menge + bom dieja ‘ mengebom’

b)    Huruf e taling atau o pada mana-mana suku kata terbuka tidak berubah jika suku kata sebelumnya menggunakan vokal a, e pepet, i atau u, misalnya :
anggota         gelora
kaedah           kecewa
pidato             sekolah

c)    Huruf vokal a pada suku kata akhir ( terbuka atau tertutup ) tidak mempengaruhi huruf vokal e taling atau o pada suku kata sebelumnya, misalnya:
beta                meja
dewan            dendang
selendang     terendak

d)    Huruf vokal e taling dan o yang membentuk pasangan keselarasan e taling – e taling, e taling – o, o – e taling, dan o – o tidak berubah kerana tidak dapat dipengaruhi oleh vokal a, e pepet, i atau u pada suku kata sebelumnya, misalnya:
cerewet          kelengkeng
kerekot           pelecok
celoreng        pelopor