Thursday 4 August 2011

Ragam Bahasa Melayu

1. Bahasa Sindiran

-          untuk menyindir seseorang dengan tidak disebutkan secara tepat, hanya dikias-kiaskan kepada perkara lain.

Contoh : Nampaknya mendung sahaja hari ini, hari pun dah lama tak hujan!
(ditujukan kepada seseorang yang berwajah muram atau masam sahaja.)

2. Bahasa Menggiat

-          lebih kurang sama dengan bahasa sindiran tetapi tidak ada kiasan
-          maksudnya hanya untuk mengusik atau bergurau.
-          dipertuturkan untuk mengetahui reaksi daripada orang yang ditujukan.

Contoh : Amboi, merah sangatlah Mak Ngah!

(ditujukan kepada orang perempuan yang pakaiannya berwarna terlalu merah, tujuannya untuk mengusik)

3. Bahasa Mengejek

Bahasa yang mengata seseorang dengan perkataan yang tepat , tetapi dengan gaya mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkannya sehingga orang yang mendengar akan mentertawakannya. Kata-kata ini akan menimbulkan perasaan marah orang yang ditujukannya itu.

Contoh : muka tak malu! belum lulus SPM sudah berangan nak kahwin.

(ditujukan kepada orang yang gatal bermain cinta walaupun belum dapat berdikari atau lulus peperiksaan untuk menjamin masa depannya)

4. Bahasa Terbalik

-bermaksud apa yang diperkatakan mempunyai pertentangan maksud dengan perkataan yang diucapkan. Tujuannya adalah untuk menyedarkan seseorang terhadap kesalahan yang dilakukannya.

Contoh : kan sudah kena denda, lain kali bising lagilah.

Ditujukan kepada orang lain yang sebelumnya kena denda  kerana membuat bising. Tujuannya untuk memberi ingatan supaya jangan membuat kesalahan yang sama.

5. Bahasa Merajuk

menunjukkan perasaan kecil hati atau menarik diri. Sesuatu perbuatan yang dirasakan menghina atau tidak sepatutnya dilakukan.

Contoh : orang tak sudi singgah, apa nak buat. Maklumlah pondok kita tak ada hawa dingin.

6. Bahasa Tempelak

kata-kata untuk membalikkan percakapan seseorang yang dikeluarkan sebelum ia sendiri  melakukan kesalahan itu.

Contoh : Dulu ada orang datang meminang, awak tolak, awak tak mahu, tak ada rupalah, tak ada hartalah, macam-macma alas an. Sekarang umur dah banyak siapa lagi yang hendak?

7. Bahasa Herdik

seakan-akan bahasa tempelak tetapi tujuannya untuk menunjukkan kesalahan pada masa itu juga, bukannya pada masa lalu. Mempunyai persamaan dengan maki tengking tetapi tujuannya adalah untuk kebaikan, bukannya untuk memalukan orang lain.

Contoh : Hei, tak ada kerja lain ke! Asyik nak tidur sahaja.
  
8. Bahasa Melampau

mengatakan sesuatu perkara itu secara berlebih-lebihan melebihi apa yang sepatutnya hingga kadang-kadang tidak diterima akal.

Contoh : Kecantikan wajahnya itu tidak ada tolok bandingannya di dunia ini.

9. Bahasa Merendah

mengatakan sesuatu perkara itu kecil dan kurang. Tujuannya untuk merendah diri.

Contoh : Terimalah sedikit hadiah yang tidak sepertinya ini.
              Izinkan saya yang daif ini menyampaikan ceramah kepada tuan-tuan sekalian.


10. Bahasa Naik

Ragam bahasa yang menguatkan tujuan kata dengan membawakan ke hadapan hati pembaca akan gambaran fikiran yang beransur-ansur naik dataran yang kendur kepada dataran yang semakin tegang.

Contoh :
Sudahlah sekolah kerajaan dirikan, gaji guru-guru kerajaan bayar, buku-buku diberi percuma, padang bola dan bola itu pun disediakan oleh kerajaan juga!

11. Bahasa berulang

Ragam bahasa yang menggunakan perkataan, frasa, atau ayat secara berulang-ulang dua atau tiga kali untuk menguatkan maksud sesuatu yg hendak ditekankan oleh penutur.

Contoh:

Kaya, kaya, kaya, ya semua orang mahu kaya.

Belajar, belajar, belajar, tak kira siapa, di mana dan bila, kita harus lakukan  demi kesejahteraan hidup  pada masa depan.

12. Bahasa mengeluh

untuk melahirkan perasaan kecewa dan menyesal dengan cara mengeluh.

Contoh :

Hai, kalaulah isteriku masih hidup bolehlah aku bermanja!

Oh, beginilah nasib kami apabila majikan tidak bertimbang rasa!