Thursday, 4 August 2011

FUNGSI BAHASA MELAYU

Jika diteliti, kita boleh mengatakan bahawa bahasa kebangsaan mempunyai fungsi perpaduan. Maksud fungsi perpaduan ialah menimbulkan sikap bersatu terhadap kesetiaan bahasa. Misalnya, apabila orang berlainan bangsa bertemu, mereka dapat mengeratkan hubungan di antara satu sama lain dengan penggunaan bahasa kebangsaan.

Sebagai bahasa utama bagi negara yang baru terlepas daripada penjajahan, Bahasa Melayu juga mempunyai peranan sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa rasmi bermaksud bahasa yang digunakan dalam urusan pentadbiran kerajaan, sistem pendidikan negara, urusan perniagaan dan upacara-upacara rasmi. Bahasa kebangsaan biasanya satu bagi setiap negara, tetapi bahasa rasmi tidak demikian. Bahasa rasmi boleh lebih daripada satu, mungkin dua, tiga atau empat bagi sesebuah negara. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara bukan sejak bermula kemerdekaan, sebaliknya hanya bermula pada tahun 1969.

Bahasa Melayu, dan bukan bahasa lain, digunakan sebagai bahasa rasmi kerana beberapa sebab, Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kebangsaan dan berupaya mengambil alih fungsi Bahasa Inggeris, maka layaklah Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi. Bahasa Melayu juga dapat difahami oleh semua kaum di negara ini, maka dalam urusan rasmi, rakyat tidak menghadapi masalah menggunakan Bahasa Melayu.

Setelah menjadi bahasa rasmi, keupayaan Bahasa Melayu perlu diperkukuhkan. Untuk itu, Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah bermula pada tahun 1970. Menteri Pelajaran ketika itu, Abdul Rahman Yaakob telah mengarahkan semua sekolah kebangsaan aliran Inggeris menggunakan Bahasa Melayu secara berperingkat-peringkat. Kini Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar bukan sahaja di sekolah, malah ke peringkat universiti. Penggunakan bahasa pengantar ini akan mewujudkan satu suasana kebangsaan yang membabitkan semua rakyat tanpa mengira kaum. Dengan itu, sistem pendidikan nasional dapat dicapai.